KALAU
sudah jodoh dan ketentuan Ilahi, apa saja kehendak-Nya pasti boleh
berlaku. Begitu juga dengan soal perkahwinan. Pasti agak ‘pelik’ di
zaman moden ini bila menyaksikan pasangan yang berhasrat mendirikan
rumah tangga pada usia yang masih muda remaja.
Jika
zaman dulu-dulu, pasangan muda yang ingin mendirikan rumah tangga
dianggap sebagai perkara biasa, namun tidak pula di zaman siber ini.
Jika si jejaka berusia 30 tahun dan yang gadis pula berusia 25 tahun –
dan masih belum berumahtangga – ia masih lagi dianggap perkara biasa
bagi sesetengah masyarakat.
ZAMAN
dulu, sekitar 50-an dan 60-an, berkahwin pada usia muda bukan satu
keganjilan. Ramai berkahwin muda, malah ada sesetengahnya, terutama
anak gadis menamatkan zaman bujang ketika usia masih terlalu mentah…15,
16 tahun?
Banyak
alasannya mengapa mereka berkahwin muda. Kebanyakannya mungkin kerana
desakan ibu bapa. Lambat kahwin, takut anak gadis dikatakan tidak laku.
Bimbang juga anak gadis terlalu bebas sehingga melakukan perbuatan
yang tidak wajar.
Mungkin
juga kerana peluang pelajaran tidak seluas mana bagi anak gadis di
zaman dulu. Buat apa belajar tinggi-tinggi, itu pendapat orang tua
dulu-dulu..ke ceruk dapur juga akhirnya dan ada juga yang mengatakan
kerana `orang dulu’ cepat matang. Pendek kata, kalau anak gadis tu,
sudah pandai masak, pandai jaga adik-adik – senang cerita, pandai
menguruskan rumah tangga, ah..dah sampailah masanya.
Itu
dulu. Kalau hari ini, anak gadis mahupun teruna berkahwin cepat, apa
sebabnya? Rasanya ramai bersetuju, senario berkahwin muda bukan lagi
pemandangan biasa. Peluang pendidikan yang lebih meluas, bagi lelaki
dan wanita, keinginan mengecapi kejayaan dalam kerjaya mengatasi
kehidupan berumahtangga, mungkin antara sebab ramai generasi hari ini
`kurang berminat’ berkahwin pada usia muda.
Dilihat
pada perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000, pada 1981 sehingga
1990, 43.2 peratus golongan muda berusia 20 hingga 34 tahun belum
berkahwin.
Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin, dengan 68.5 peratus daripadanya wanita.
Perangkaan
itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2
tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita, tetapi meningkat kepada
lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun) pada 1991.
Perangkaan
pada 2000 lebih membimbangkan apabila umur minimum berkahwin bagi
lelaki meningkat kepada 28.6 tahun dan wanita 25 tahun dan begitulah
keadaannya, dari tahun ke tahun, umur minimum berkahwin bagi lelaki dan
wanita di negara ini semakin meningkat.
Namun,
masih ada segelintir remaja hari ini `berani’ meninggalkan keseronokan
hidup sendiri, berkahwin muda malah menimang cahaya mata ketika rakan
seusia sedang sibuk menjalani `kebebasan’ sebagai remaja.
Semestinya,
ramai yang beranggapan remaja yang berusia kurang daripada 20 tahun
sebagai ‘mentah’ dan ‘hijau’ untuk mengharungi kehidupan berumahtangga
serta menempuh pelbagai asam garam sebagai suami isteri.
Tetapi,
sudah tentu lain perasaannya bila masing-masing sudah sah memikul
tanggungjawab sebagai suami isteri. Memang bukan mudah menempuh cabaran
alam rumah tangga, namun yang penting ialah tanggungjawab dan peranan
suami isteri untuk menjamin keharmonian institusi perkahwinan yang
dibina.
Menurut
beberapa pasangan muda yg ditemubual, mereka tidak menyesal berkahwin
muda, malah beranggapan status baru sebagai suami dan isteri itu lebih
mematangkan mereka, lebih-lebih lagi apabila bergelar ayah dan ibu.
Mungkin
benar, kata sesetengah pihak, usia bukanlah formula utama dalam
perkahwinan yang berjaya tetapi keinginan dan keupayaan melayari
mahligai dan kehidupan yang dibina dengan matang dan penuh
tanggungjawab. Yang penting, jangan berkahwin hanya kerana nafsu dan
desakan cinta tetapi kerana sudah bersedia – mental, fizikal dan
kewangan. Apa yang pasti, masing-masing baik lelaki mahupun perempuan
perlu ada nilai dan peranan untuk menjamin kebahagiaan berumahtangga.