Surah
ini amatlah penting sehingga ia menjadi syarat sah atau tidak solat
yang kita dirikan. Bahkan ia menjadi kunci sama
ada solat yang kita dirikan itu memberi kesan positif atau
sebaliknya dalam kehidupan seharian. Ini kerana antara hikmah solat
ialah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah: Dan
dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. [al-Ankabut 29:45]
Namun
apabila solat itu masih tidak dapat mencegah diri kita atau orang lain
dari perbuatan keji dan mungkar,
ertinya terdapat beberapa kekurangan dalam solat yang didirikan
itu. Kekurangan yang penting ialah tidak memahami dan menghayati surah
al-Fatihah yang dibaca di dalam solat. Sebelum kita
menghuraikan maksud dan mutiara-mutiara surah yang agung ini,
marilah kita tinjau terlebih dahulu beberapa keutamaannya.
Keutamaan Surah al-Fatihah.
al-Fatihah
bererti pembukaan, justeru di sini ia bermaksud sebagai pembukaan
kepada kitab al-Qur’an
al-Karim. Kitab al-Qur’an adalah sebuah buku yang Allah berikan
kepada kita sebagai panduan hidup. Ia adalah sebuah buku yang suci,
tinggi nilainya, mengandungi pelbagai hikmah dan
pengajaran serta tidak memiliki apa-apa tandingan dengan mana-mana
buku lain, baik dari agama lain atau para penulis hebat yang lain. Nah!
Jika sedemikian hebat buku atau kitab al-Qur’an
ini, maka bayangkan betapa hebat pula surah atau bab yang menjadi
pembuka kepada al-Qur’an!
Berkenaan keutamaan ini, Rasulullah bersabda: Demi
Allah yang nyawaku berada di Tangan-Nya, tidak
diturunkan dalam Kitab Taurat, tidak juga dalam Kitab Injil, tidak
juga dalam Kitab Zabur, tidak juga dalam al-Qur’an yang semisalnya,
iaitu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (surah
al-Fatihah). [Musnad Ahmad, no: 8682 dengan sanad yang sahih]
Dalam hadis di atas, surah al-Fatihah juga digelar tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang
kerana
dalam surah al-Fatihah ada tujuh ayat dan surah ini sendiri dibaca
paling kurang sebanyak tujuh belas kali sehari dalam solat Subuh,
Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak (2+4+4+3+4=17).
Dalam hadis di atas juga, surah al-Fatihah dinyatakan sebagai tidak juga dalam al-Qur’an yang
semisalnya, bermaksud tidak ada di dalam seluruh al-Qur’an
surah yang keutamaannya semisal (seumpama) surah al-Fatihah. Ini
diperkuatkan dalam sebuah hadis yang lain, di mana
Rasulullah bersabda kepada Abu Sa’id al-Mu’alla: Sungguh
saya akan mengajarimu tentang surah yang paling agung yang terdapat di
dalam al-Qur`an sebelum kamu keluar dari
Masjid… (iaitu surah yang bermula dengan) “Alhamdulillahi Rabbil
‘Alamin”, ia adalah tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan (merupakan
sebahagian daripada)
al-Qur’an al-‘Azhim yang telah diwahyukan kepadaku. [Shahih al-Bukhari, no: 4114]
Sebelum Membaca al-Fatihah
Surah
al-Fatihah adalah pembuka al-Qur’an dan sebahagian daripada al-Qur’an.
Apabila kita hendak
membaca, mengkaji dan berinteraksi dengan al-Qur’an, amatlah
penting untuk meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan dengan
membaca “A’uzubillahi minash syaithani
rajim”. Ini berdasarkan firman Allah: Oleh itu apabila
kamu membaca al-Qur’an, maka hendaklah kamu (terlebih dahulu) memohon
perlindungan kepada Allah dari hasutan syaitan
yang direjam. [al-Nahl 16:98]
“A’uzubillahi minash syaithani rajim”
bererti “Aku berlindung kepada Allah dari
syaitan yang direjam”. Maksud “Aku berlindung…” ialah kita mengaku
kelemahan diri kita sehingga dengan itu meminta perlindungan. Ini
penting kerana ada orang yang
angkuh, merasakan dirinya tidak perlu meminta perlindungan. Maksud
“…kepada Allah…” ialah kita memohon perlindungan kepada Allah sahaja
dan tidak kepada mana-mana
makhluk lain sama ada syaikh, ustaz, wali-wali, bomoh atau
pawang.
“Syaitan”
dari sudut bahasa bermaksud “jauh”. Dari sudut Islam, syaitan bererti
apa-apa
makhluk yang cuba menghasut manusia agar jauh dari Allah, jauh
dari al-Qur’an, jauh dari sunnah Rasulullah, jauh dari jalan yang lurus,
jauh dari petunjuk, jauh dari apa yang diajar oleh
Islam baik aqidah, fiqh mahu pun akhlak. Syaitan boleh terdiri
dari makhluk manusia atau jin, sebagaimana firman Allah: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari
Syaitan-syaitan, manusia dan jin. [al-An’aam 6:112]
Berwaspada Terhadap Syaitan
Syaitan sentiasa menyertai kita dalam semua urusan. Ia sentiasa mencari jalan, walaupun sekadar celahan yang
kecil, untuk menjauhkan kita dari Allah, Rasul-Nya dan Islam. Rasulullah pernah mengingatkan kita berkenaan bahaya ini: Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap
sesuatu yang kalian lakukan. [Shahih Muslim, no: 3794]
Oleh kerana itulah kita diperintahkan untuk menjadikan syaitan sebagai musuh kita, baik yang kita nampak atau
tidak, sedar atau tidak. Allah berfirman: Sesungguhnya
syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh; sebenarnya ia
hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk
neraka. [Fatir 35:06]
Termasuk dalam rangka menjadikan syaitan sebagai musuh ialah sentiasa meminta perlindungan kepada Allah dalam
apa juga yang kita lakukan. Ini kita lakukan dengan kerap membaca “A’uzubillahi minash syaithani rajim” atau apa-apa doa lain yang diajar oleh Rasulullah.
Maksud
“…yang direjam” ialah gambaran keazaman serta kesungguhan kita
menyatakan kebencian
dan permusuhan kepada syaitan. Dalam erti kata lain, kita
bersungguh-sungguh memusuhi dan membenci syaitan serta benar-benar
mengharapkan perlindungan Allah dari hasutannya.
Oleh itu apabila kita membaca al-Qur’an secara umum dan surah al-Fatihah secara khusus, hendaklah kita
memohon perlindungan Allah dari syaitan yang direjam dengan menyebut “A’uzubillahi minash syaithani rajim”.
Ini bagi mengelakkan syaitan dari mengganggu kefasihan
bacaan kita, menghasut kita dengan sifat malas untuk meneruskan
bacaan, melalaikan kita dari memahami apa yang sedang dibaca dan
menjauhkan kita dari kefahaman sebenar ayat-ayat yang
dibaca.